Pada setiap petang Rabu, beberapa orang murid dari tahun enam dan tahun lima SJK(C) Taman Muhibbah mengadakan latihan permainan bola sepak dan bola jaring. Latihan permainan bola sepak akan dikendalikan oleh Cikgu Sabri manakala Cikgu Siti mengendalikan pasukan bola jaring. Sebelum latihan, Cikgu Sabri akan memastikan kawasan permainan dan peralatan sukan selamat digunakan.Cikgu Sabri seorang guru yang sangat teliti dan bertanggungjawab. Beliau tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku semasa latihan permainan. “Hamzah dan Ajai, tolong saya di padang. Saya hendak memeriksa tiang gawang bola sepak dan tiang bola jaring,” kata Cikgu Sabri. “Perlukah tiang gawang bola sepak dan tiang bola jaring ini diperiksa selalu, cikgu?” tanya Ajai. “Ya, kita perlu memeriksa kedua-dua tiang ini supaya selamat digunakan,” balas Cikgu Sabri. “Tiang besi yang lama akan berkarat dan patah. Malang tidak berbau, palang atau tiang itu boleh terjatuh lalu menimpa pemain dan sesiapa yang berada di kawasan itu,” jelas Cikgu Sabri. Cikgu Sabri juga menjelaskan bahawa tiang bola jaring juga perlu kukuh, tidak mudah tumbang dan selamat digunakan. Tiang ini perlu direbahkan dan disimpan setelah digunakan